Kit Siang gesa Kabinet buat sidang Parlimen reformasi

VETERAN DAP, Lim Kit Siang menggesa jemaah Kabinet memutuskan untuk menjadikan sidang Parlimen pada Julai depan sebagai sidang Parlimen Reformasi.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, berkata jemaah Kabinet yang akan bermesyuarat Rabu ini perlu mengarahkan dan memberikan kuasa kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk menjadikan sidang Parlimen selama 14 hari yang bermula 18 Julai sehingga 4 Ogos sebagai satu sidang Parlimen Reformasi.

Dalam kenyataan, Kit Siang hari ini, beliau turut menggariskan beberapa agenda yang patut diberikan keutamaan pada sidang Parlimen nanti.

“Pertamanya, bentangkan beberapa undang-undang reformasi seperti pengharaman melompat parti dan pemansuhan hukuman mati mandatori.

“Keduanya, berikan komitmen untuk bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 sehinggalah Perkenan Seri Paduka Baginda diberikan kepada pemansuhan hukuman mati mandatori.

“Terbitkan kepada orang awam Laporan Richard Malanjum mengenai Hukuman Alternatif kepada Hukuman Mati Mandatori,” katanya.

Dalam pada itu, Kit Siang berkata, kerajaan perlu memastikan tidak ada hukuman mati dilaksanakan sementara kerajaan mengkaji hukuman alternatif.

“Ia membabitkan lebih daripada 2,000 orang pesalah yang sedang menanti hukuman mati untuk 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori sebelum ini,” katanya. -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights