MOT mahu laksana dasar baharu berkaitan EV

MOT mahu laksana dasar baharu berkaitan EV

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) mahu merancakkan lagi industri berkaitan Kenderaan Elektrik (EV) di Malaysia dengan melaksanakan dasar baharu. 

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pelaksanaan dasar baharu itu akan dibuat selepas melihat industri tersebut semakin berkembang pesat di negara ini. 

“Saya turut menyatakan bahawa EV di Malaysia semakin berkembang pesat dan kita perlu melihat ke arah pelaksanaan dasar-dasar baharu yang mungkin dapat merancakkan lagi industri berkaitan EV ini.

“Jadi, dengan pembangunan teknologi EV yang semakin berkembang di seluruh dunia, maka sudah tentu negara kita juga tidak terkecuali daripada arus pembangunan ini.

“Namun, pada masa ini, kita kekurangan infrastruktur bagi menyokong teknologi EV. Jadi kita memerlukan ekosistem yang mencukupi yang akan menyokong penggunaan EV di masa hadapan,” katanya menerusi Facebook.

Ka Siong berkata, seiring mencapai matlamat Pengangkutan Hijau, maka sudah tiba masanya untuk pihaknya menjalankan kajian secara mendalam mengenai rancangan pelaksanaan.

“Ia bagi memperkenalkan lebih banyak lagi stesen pengecasan di tempat awam, termasuk pusat membeli-belah, lebuh raya, dan mencari jalan penyelesaian terhadap pelupusan bateri-bateri lama,” katanya.

Tambahnya, beliau  percaya Alpha ESS sebagai syarikat berpengalaman akan dapat berkongsi kepakaran mereka mengenai industri yang agak baharu ini.

Terdahulu, Ka Siong menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Alpha Ess Co Ltd, Alfred Wang di pejabat kementeriannya di Putrajaya, hari ini.

Pertemuan itu dikongsikan menerusi satu hantaran di Facebooknya, memaklumkan mereka saling bertukar pandangan mengenai mengenai pembangunan EV di Malaysia dan juga peringkat global.

Turut hadir dalam pertemuan itu, Naib Presiden dan Pengasas Bersama Alpha ESS, Zoe Zhang dan Pengurus Besar di Malaysia, Arthur Liu. – Malaysiapost

Komen