TINDAKAN PAS secara berterusan menyerang Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sudah melampaui batas termasuk adab dalam berkawan dan berselisih pendapat.
Pengarah Komunikasi Pemuda Umno, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, berkata beberapa pemimpin PAS akhir-akhir ini berjemaah dan ‘berpesta’ menyerang kepimpinan Umno semata-mata mahu menentang pilihan raya umum (PRU) diadakan tahun ini.
Jelasnya, kenyataan Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin yang menyuruh Ahmad Zahid menjadi ‘bisu politik’ selain meminta Ahli Majlis Tertinggi Umno menasihatinya berhenti bercakap tentang PRU, jelas satu campur tangan terhadap urusan Umno.
“PAS sudah melampaui batas adab dalam berkawan, malahan adab dalam berselisih pendapat, apabila menyerang Presiden Umno secara berkala seolah ada satu gerakan terancang pelbagai pihak.
“Ini parti kami, pandailah kami mengurus sendiri tanpa perlu orang luar memberitahu apa yang perlu dilakukan. Tidak perlu sibuk mencampuri urusan nakhoda kapal lain sedangkan kapal kamu sendiri sudah sesat haluan.
“Adalah lebih baik kamu nasihatkan Pengerusi PN (Perikatan Nasional) yang bersungguh sunguh mahukan jajaran baharu dengan DAP. Atau mungkin ada fatwa baharu daripada Tok Guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) untuk menghalalkan kerjasama terbaru dengan Dap?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, desakan mahu PRU disegerakan adalah suara majoriti ahli parti dan sebagai Presiden Umno, Ahmad Zahid bertanggungjawab memperjuangkan suara ahli.
“Kemahuan pilihan raya awal adalah suara orang Umno pada perhimpunan parti yang lepas, suara akar umbi pada mesyuarat cawangan dan bahagian,” katanya.
Jelasnya lagi, kenyataan Khairil Nizam itu dilihat sebagai usaha membela kecaman terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor.
Ia berhubung dakwaan Muhamad Sanusi bahawa Umno mahu PRU cepat kerana ada kaitan dengan kes mahkamah beberapa pemimpinnya.
“Sedangkan dia sendiri lupa tentang kenyataan ‘Flip Flop’ Presidennya pada 28 Februari 2020 yang bertegas mahukan pilihan raya semula setelah PH jatuh dengan sendirinya.
“Memang benarlah, kuasa yang ada walaupun sedikit cukup ‘memabukkan’ sehingga seorang berstatus ‘Tok Guru’ sendiri mudah berubah,” katanya.
Beliau berkata, ternyata dua pemimpin PAS itu fobia terhadap PRU kerana menyedari bakal kehilangan jawatan, dan keistimewaan sebagai Menteri dan Menteri Besar yang semakin hampir.
“Begini sajalah PAS sekiranya takut kalah, jangan bertanding pilihan raya. Jadi sahaja parti kuat ceramah sambil mengedar tong derma kerana ia lebih menguntungkan,” katanya. – Malaysiapost