PAS mahu lewatkan PRU kerana tidak mahu Umno menang
AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, PAS termasuk Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor ‘takut’ untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mohd Puad berkata, tindakan PAS itu sudah dijangka apabila Muhammad Sanusi melakukan provaksi terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Pokoknya PAS tidak mahu Umno menang. (Muhamad) Sanusi dan PAS sudah masuk kluster ‘takut PRU awal’.
“Kenapa? PAS perlu lebih banyak masa mencari bahan terbaik untuk memfitnah Umno seperti di PRU14,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, PAS sedar mereka tidak boleh ‘bermain’ dengan isu harga barang dan inflasi kerana parti itu adalah sebahagian dari kerajaan hari ini.
Sehubungan itu, katanya, PAS mahu PRU lambat untuk melakukan serangan hendap terhadap Umno.
“Umno sudah masak dengan lidah bercabang PAS. Tidak perlu minta MKT Umno nasihat Presidennya. Nasihati sahaja Presiden PAS supaya jangan makan gaji buta.
Beliau berkata, dakwaan Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin bahawa Umno hanya memikirkan kemenangan parti sendiri, disifatkan tidak logik.
“Kalau orang seperti Khairil Nizam mendakwa Umno hanya memikirkan kemenangan parti sendiri, maka bodoh sangatlah Umno melambatkan PRU.
“Semua parti mahu menang. Umno mahu menang untuk tubuh kerajaan stabil. Bukan kerajaan majoriti lemah yang boleh diugut, diikat dan ditikam dari belakang.
“Maka PAS tidak perlu retorik kononnya mahu menjaga kesejahteraan rakyat dan negara. PAS juga akan bubar DUN Kelantan, Kedah dan Terengganu jika yakin boleh menang PRN,” katanya.
Semalam, Khairil Nizam berkata, PAS berpendapat tiada keperluan untuk menyegerakan PRU15 sebaliknya keutamaan perlu diberi kepada agenda mensejahterakan rakyat. – Malaysiapost