SEORANG bapa tergamak merogol anak kandung sendiri dan perbuatan haruan makan anak itu telah berlarutan sejak anaknya berusia 12 tahun lagi.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, polis telah menerima laporan daripada seorang gadis remaja berusia 15 tahun berhubung kejadian sumbang mahram, semalam.
“Pada 9 Jun, lebih kurang pukul 12 tengahari, semasa mangsa berada di dalam biliknya, tiba-tiba datang ayah kandungnya berusia 57 tahun memaksa mangsa melakukan hubungan seks.
“Mangsa juga menceritakan telah dirogol oleh ayah kandungnya sejak berusia 12 tahun lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu, Amran berkata, pihak polis telah melancarkan gerakan mengesan bapa gadis itu dan berjaya menangkap suspek di Kampung Chenderong Batu, Wakaf Bharu, Tumpat kira-kira pukul 3 petang semalam.
“Suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau bagi kesalahan dadah. Ujian saringan awal dadah ke atas suspek negative.
“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Pasir Mas untuk permohonan reman dibawah Sek. 324 KK dan direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
“Suspek akan ditangkap semula bersangkut kes sumbang mahram selepas selesai reman dibawah Sek. 324 KK. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan dikenakan sebat,” katanya.
Sementara itu, Amran berkata, mangsa merupakan seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Kota Bharu telah dibawa ke hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan doktor mendapati ada kesan koyakan lama di selaput dara yang mungkin disebabkan oleh tusukan objek tumpul dan keras,” katanya. -Malaysiapost