KETUA Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mencadangkan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Azizi dinamakan sebagai ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN)Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Jamal berkata, beliau percaya Tengku Zafrul yang mempunyai latar belakang dunia korporat dan perbankan mampu membela kebajikan rakyat, apatah lagi beliau kini seorang menteri Kabinet.
“Tengku Zafrul antara nama pemimpin yang disebut-sebut malah sudah pun turun padang beberapa kali menyantuni rakyat di Kuala Selangor.
“Jika kehadiran anak kelahiran Kuala Selangor itu boleh diterima baik oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, apa salahnya jika Tengku Zafrul boleh dinamakan sebagai ‘poster boy’ BN Selangor pada PRU15 akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kejayaan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor tahun lalu membuktikan calon baharu, segar dan bebas daripada kontroversi menjadi pilihan pengundi.
Justeru, katanya, formula sama boleh diguna pakai BN dalam PRU15 dengan mengetengahkan calon muda, baharu dan sesuai dengan kehendak semasa.
“Permintaan itu semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat hari ini yang mula kembali memberi kepercayaan kepada BN.
“Ini kerana parti ini yang menawarkan manifesto mampu dilaksanakan, iaitu kestabilan politik dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.
Jelasnya lagi, pelaksanaan pendaftaran secara automatik daftar pemilih berusia 18 tahun yang berkuatkuasa 15 Disember 2021 membuktikan pengundi muda juga memberi sokongan luar biasa hingga BN menang di Melaka dan Johor.
“Langkah ini boleh digunakan di negeri-negeri lain terutamanya Selangor dalam usaha BN untuk merampas semula negeri maju itu daripada Pakatan Harapan sejak tiga penggal lalu.
“Umno amat memerlukan lebih ramai pemimpin muda, berkaliber dan diyakini rakyat untuk menawarkan perubahan luar biasa di Selangor.
“Lebih-lebih lagi dalam kalangan Menteri Kabinet di peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Terdahulu, Tengku Zafrul menegaskan beliau kini lebih memberi tumpuan kepada tugas dan tanggungjawabnya di Kementerian Kewangan dan tidak memikirkan isu politik pada masa ini.
Kenyataan itu susulan khabar angin mengatakan Tengku Zafrul akan bertanding di Parlimen Kuala Selangor pada PRU15 nanti.
Khabar angin mengenai Tengku Zafrul dikatakan akan bertanding di Parlimen Kuala Selangor, bertiup kencang sejak beberapa minggu lalu selepas beliau dikatakan kerap ‘turun padang’. – Malaysiapost