SINDIKET menjual biskut berperisa ganja lumpuh di Lembah Klang apabila polis berjaya memberkas tujuh lelaki dalam tiga serbuan berasingan di Batu Caves, Selangor dan Bandar Menjalara Kepong, Kuala Lumpur, Rabu dan Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata pihaknya menahan seorang lelaki berusia 21 tahun jam 4 petang Rabu lalu di kawasan kondominium di Bandar Menjalara Kepong dalam serbuan pertama.
“Dalam serbuan itu, polis menemui satu paket mengandungi dadah methaphetamine seberat 13 gram di dalam poket suspek.
“Hasil maklumat daripada suspek, polis membuat pemeriksaan di sebuah unit kondominium di kawasan berhampiran yang membawa kepada penemuan 15 ketulan mampat ganja seberat 14.98 kilogram.
“Turut ditemui dua bungkusan mengandungi 12 biskut berperisa ganja serta lima paket methaphetamine seberat 65 gram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.
Eng Lai berkata, polis turut merampas beberapa barang kemas serta wang tunai RM2,400 dipercayai hasil jualan dadah berkenaan.
“Hasil soal siasat terhadap suspek membawa serbuan kedua di Jalan Lintang Batu Caves jam 5 petang Khamis lalu dengan penahanan dua lelaki masing-masing berusia 22 dan 25 tahun.
“Pemeriksaan dalam kereta milik suspek menemui 10 ketulan mampat ganja seberat 9.94 kilogram di tempat duduk penumpang bahagian belakang.
“Polis turut merampas beberapa barang kemas serta wang disyaki hasil jualan dadah itu sebanyak RM1,500,” katanya.
Jelasnya, polis turut menahan empat lagi lelaki berusia 23 hingga 24 tahun dalam serbuan ketiga di sebuah kondominium di Jalan Bandar Menjalara jam 7 malam, Khamis lalu.
“Dalam serbuan itu polis satu paket dadah jenis methaphetamine seberat 5.40 gram, dua paket mengandungi pil ekstasi seberat 2.86 kilogram serta wang tunai RM2,100 dipercayai hasil jualan dadah itu.
“Keseluruhan rampasan dadah bagi ketiga-tiga serbuan adalah RM248,490 yang boleh membekalkan kepada 15,798 penagih,” katanya.
Eng Lai berkata, modus operandi sindiket itu adalah mengambil tempahan biskut ganja daripada seorang lelaki tempatan di sekitar Lembah Klang sebelum dijual kepada pelanggan tetap menerusi media sosial.
“Suspek mengambil biskut ganja itu daripada pembekal sebelum ia dibungkus semula untuk dijual enam biskut dalam setiap bungkusan pada harga RM100.
“Suspek yang menerima tempahan daripada pelanggan tetap akan menghantar sendiri biskut itu. Polis percaya bekalan ganja itu diperoleh di sekitar Lembah Klang,” katanya yang memaklumkan sindiket itu aktif melakukan kegiatan itu sejak akhir tahun lalu.
Eng Lai menegaskan, polis sedang mengesan individu yang terbabit dalam proses menghasilkan biskut berperisa ganja berkenaan.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada tujuh suspek terbabit positif dadah jenis ganja. Semakan dilakukan mendapati empat daripada tujuh suspek memiliki rekod lalu berkaitan dadah,” katanya.
Semua suspek direman tujuh hari bermula Khamis lalu hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -Malaysiapost
Kredit Foto: Genes Gulitah