PENGANJURAN Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) di Johor, diharapkan dapat meningkatkan lagi kesedaran umat Islam terus mendampingi al-Quran, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Sesungguhnya al-Quran adalah petunjuk kepada umat manusia. Alhamdullilah, MTHQK diadakan kembali pada tahun ini dengan tema Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti.
“Ia mampu menjadi titik tolak bagi melahirkan generasi Rabbani yang berpegang kepada al-Quran dan as-sunnah dalam membentuk sebuah negara yang harmoni,” katanya menerusi Facebook.
Pada masa sama, Ismail Sabri turut mengajak mengajak masyarakat Islam negara ini supaya mengamalkan konsep Tasamuh atau ‘toleransi’ dalam kehidupan harian mereka.
Katanya, konsep Tasamuh dalam hidup bermasyarakat juga harus menjadi perkara utama kepada Keluarga Malaysia untuk bergerak ke hadapan sejajar dengan peredaran masa kini.
Sehubungan itu, beliau berkata, mana-mana budaya yang tidak bertentangan dengan akidah Islam boleh disantuni tanpa sebarang stigma dan diskriminasi.
Katanya, Tasamuh adalah perkataan Bahasa Arab yang bermaksud ‘toleransi ‘atau ‘berlapang dada’.
Dalam maksud yang lain, Tasamuh adalah bersikap menerima dan damai terhadap sebarang keadaan yang dihadapi.
“Konsep Tasamuh menekankan nilai toleransi dan kebersamaan, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang mampu menjadikan masyarakat di negara ini menghargai dan memahami nilai perbezaan.
“Misalnya toleransi dalam agama ialah sikap saling menghormati hak dan kewajipan antara agama.
“Tidak hanya urusan ibadah sahaja yang diatur oleh Islam, kehidupan sosial juga ada aturannya dan salah satunya adalah anjuran untuk bersikap Tasamuh dalam bermasyarakat,” katanya.
Tambahnya, Tasamuh adalah istilah yang terkait dengan akhlak terpuji.
“Dalam Islam, ada banyak sikap dan perbuatan baik yang harus diterapkan dalam hidup.
“Bagi negara yang memiliki bangsa dan budaya yang majmuk seperti Malaysia, sikap toleransi atau Tasamuh sangat penting sebagai alat menyatupadukan kita semua,” katanya.
MTHQK 2022 dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula hari ini sehingga Sabtu ini di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar.
Seramai 110 peserta dari seluruh negara menyerrai MTHQK 2022 dengan 29 orang menyertai Majlis Tilawah al-Quran manakala 81 orang lagi menyertai Majlis Hafazan al-Quran. – Malaysiapost