MAJLIS Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menggesa agensi kerajaan dan swasta mempertingkatkan keselamatan dan perlindungan data peribadi agensi masing-masing.
Ketua Keselamatan Negara, MKN Datuk Rodzi Md Saad, berkata arahan itu selaras dengan Arahan MKN No. 26: Pengurusan Keselamatan Siber Negara.
Menurutnya, arahan itu agar semua agensi dan organisasi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (Critical National Information Infrastructure, CNII) memastikan perlindungan optimum terhadap aset-aset maklumat kritikal yang telah dikenal pasti, daripada sebarang bentuk ancaman.
“Sehubungan dengan itu, Pusat Penyelarasan dan Kawalan Siber Negara (National Cyber Coordination and Command Centre, NC4) NACSA, MKN, JPM telah mengeluarkan Notis Peringatan Keselamatan Siber bertarikh 13 Jun 2022 berkenaan amalan terbaik pencegahan ketirisan data, untuk tindakan semua agensi dan organisasi CNII.
“Semua agensi Kerajaan, terutamanya NACSA, MKN, JPM bersama-sama Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (Chief Government Security Office, CGSO) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sentiasa berganding bahu untuk memastikan keselamatan siber dan keselamatan data peribadi awam berada pada kedudukan yang terbaik, demi kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana entiti yang menggugat keselamatan siber negara, termasuk keselamatan data peribadi awam dan akan terus memastikan kawalan di tahap yang maksima,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengamalkan amalan terbaik keselamatan siber bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa jenayah siber.
“Laporkan segera sebarang maklumat berkaitan pelakuan jenayah siber kepada pihak berkuasa untuk tindakan penguatkuasaan segera,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Unsplash