AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam yang disyaki beroperasi secara haram dan merampas hasil laut seberat tiga tan bernilai RM1.5 juta di perairan Kudat, Sabtu lalu.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne, berkata bot nelayan asing terbabit dikesan melalui penugasan Op Kuda Laut di kedudukan lebih sekitar 118 batu nautika Barat Laut Tanjung Simpang Mengayau, Kudat sekitar jam 12 tengah hari.
Menurutnya, bot yang digunakan sebagai kapal induk atau ‘mother ship’ dikesan KM ARAU ketika sedang leka mengaut hasil laut negara.
Katanya, pemeriksaan mendapati 41 kru warga Vietnam termasuk tekong, berusia antara 18 hingga 58 tahun mengendalikan bot terbabit.
“Bot nelayan asing terbabit disyaki merupakan bot induk berdasarkan kepada bilangan kru, saizbot serta muatan yang dibawa namun siasatan lanjut akan dilakukan bagi tujuan pengesahan.
“Semasa proses penahanan dilakukan, bot nelayan asing berkenaan bertindak agresif dengan merempuh KM ARAU sehingga berlakunya kerosakan pada bot nelayan asing itu. KM ARAU turut mengalami kerosakan kecil namun usaha penahanan berjaya dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abeyeratne berkata, pemeriksaan dokumentasi mendapati bot nelayan asing terbabit beroperasi di perairan negara secara haram apabila gagal mengemukakan sebarang dokumentasi berkaitan.
“Siasatan lanjut mendapati bot berkenaan beroperasi dengan melepaskan sampan-sampan kecil bagi menangkap hasil laut sebelum hasilnya dikumpulkan pada kapal induk tersebut.
“Bot, kru, serta kesemua hasil laut ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kudat untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut,” katanya. – Malaysiapost