Juruteknik ditahan bergaduh depan restoran
SEORANG lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan dengan seorang warga asing di hadapan sebuah restoran di Lebuh Chulia, Georgetown, Pulau Pinang, semalam.
Pergaduhan itu turut tular di media sosial melalui video berdurasi 38 saat yang memaparkan dua lelaki berbalas tumbukan di atas jalan raya dihadapan restoran berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata hasil semakan mendapati kejadian berlaku pada jam 12.30 tengah malam 13 Jun lalu.
Beliau berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki warganegara asing berusia 40 tahun yang mendakwa diserang oleh seorang lelaki tidak dikenali dengan menggunakan botol minuman hingga cedera di bahagian muka.
“Susulan itu, pada jam 10.30 malam semalam, tangkapan dibuat ke atas suspek lelaki tempatan berusia 29 tahun di Lebuh Chulia kerana disyaki terbabit dalam kejadian itu.
“Suspek berasal dari Negeri Sembilan dan bekerja sebagai juruteknik di Pulau Pinang dan semakan mendapati suspek tiada rekod kesalahan lampau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan yang dijalankan mendapati punca kejadian adalah disebabkan mabuk dan berlaku pertengkaran mulut setelah suspek menegur mangsa secara kasar.
“Suspek direman selama empat hari sehingga 17 Jun ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang melihat kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dan polis menasihati agar tidak menularkan rakaman video berkenaan bagi mengelakkan sebarang spekulasi,” katanya. – Malaysiapost