Kes HFMD tunjuk trend penurunan – Dr Noor Hisham

SITUASI semasa kejadian penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Malaysia menunjukkan trend penurunan kes selama dua minggu berturut-turut, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, walaupun menunjukkan penurunan orang awam diingatkan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan diri dan ahli keluarga daripada dijangkiti HFMD.

Beliau berkata, sehingga hari terakhir minggu epidemiologi (ME) 23/2022 pada 11 Jun lalu, sejumlah 95,924 kes telah dilaporkan, iaitu peningkatan sebanyak 36 kali ganda bagi tempoh yang sama pada tahun 2021 iaitu 2,654 kes.

“Jika dibandingkan dengan kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2019 (sebelum pandemik Covid-19) iaitu sebanyak 30,880 kes, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 3.1 kali ganda.

“Manakala kes dilaporkan di seluruh negara bagi ME 23/2022 sahaja adalah 13,080, menurun sebanyak 22.9 peratus berbanding ME 22/2022 iaitu 16,954 kes.

“Trend kes mingguan HFMD menunjukkan penurunan sejak ME 22/2022 selepas bilangan kes mencapai kemuncak tertinggi pada ME 21/2022,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga 11 Jun 2022, Selangor menyumbang jumlah kes tertinggi berbanding negeri-negeri lain iaitu 26,799 kes, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya 10,739 kes, Perak 9,744 kes, Johor 6,326 kes dan Kelantan 6,153 kes, sementara negeri-negeri lain pelaporan kes HFMD sekitar atau kurang daripada 5,500 kes.

“Sehingga kini, terdapat tiga kes HFMD yang dimasukkan ke Wad Rawatan Rapi (ICU). Kes pertama dan kes kedua dimasukkan ke ICU kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis) dan masih di bawah pemantauan rapi di ICU. Manakala kes ketiga telah pun sihat dan dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 1,882 wabak dilaporkan di Malaysia di mana tiga negeri mencatatkan kejadian wabak tertinggi iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 602 wabak, diikuti Sarawak 265 wabak dan Selangor 233 wabak.

“Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tabika, tadika dan pra-sekolah iaitu 1,102 wabak, diikuti rumah persendirian 696 wabak dan pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 55 wabak,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights