Malaysia perlu lebih agresif dalam sektor industri makanan dan pertanian. – MPN

MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) bersetuju agar Malaysia kembali menjadi sebuah negara pertanian yang dilihat mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap pengimportan bahan makanan.

Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Mesyuarat MPN yang keenam bagi tahun 2022 yang dipengerusikan hari ini bukan sahaja membincangkan Malaysia kembali menjadi negara pertanian, tetapi juga mengenai jaminan keselamatan makanan negara

“Iaitu supaya Malaysia tidak berhadapan dengan satu situasi cemas disebabkan kita tidak menyediakan bekalan makanan yang diperlukan.

“Tadi saya dah umumkan ada peningkatan dari segi ‘ranking’ jaminan keselamatan makanan kita. Tetapi masih agak jauh lagi dari sasaran untuk menjadi ‘top ten’.

“Jadi mestilah ada bukan sahaja dari segi dasar, tetapi langkah-langkah yang Malaysia boleh ambil untuk meneroka secara lebih agresif dengan menggunakan teknologi moden untuk menghasilkan bahan keperluan makanan negara dan tidak perlu bergantung bahan yang diimport sahaja,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MPN, hari ini.

Muhyiddin berkata, jika dasar dilaksanakan secara lebih agresif dan selari dengan dasar jaminan keselamatan makanan, beliau yakin negara boleh lebih maju dalam sektor industri makanan dan pertanian.

Terdahulu dalam kenyataan medianya, Muhyiddin berkata, MPN membincangkan pelbagai isu dan rintihan rakyat terutamanya melibatkan peningkatan harga barang asas makanan.

“Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut melaporkan inflasi makanan bulan April 2022 meningkat lebih tinggi pada 4.1 peratus dengan 89.1 peratus item makanan telah merekodkan kenaikan.

“Isu-isu di sebalik peningkatan harga bahan makanan ini, sekiranya tidak ditangani secara menyeluruh dan bersepadu boleh menjejaskan lagi rantaian bekalan makanan dan sekuriti makanan negara serta menggugat kesejahteraan hidup rakyat.

“Proses pemulihan ekonomi negara akan turut terjejas sekiranya tidak ditangani dengan strategik,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia berada pada kedudukan ke-39 dalam Global Food Security Index pada tahun 2021, naik sembilan anak tangga berbanding tahun sebelumnya dengan bekalan lapan komoditi utama yang stabil.

“Pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) juga menjalankan tindakan intervensi yang berorientasikan pengguna, pengeluar dan perdagangan bagi mengukuhkan sekuriti bekalan makanan negara.

“Antara intervensi jangka pendek yang diambil adalah mewujudkan stokpail ayam, semakan prosedur import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan semakan semula Tarif Elektrik Sektor Pertanian.

“Majlis berpendapat terdapat keperluan yang mendesak untuk memperkasakan industri input kepada makanan ternakan supaya negara mencapai tahap self-sufficiency dan kos input makanan ternakan terurus dan tidak terjejas akibat faktor-faktor luaran,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights