Pegawai KKM tidak terbabit pelaburan saham patuh syariah – KKM

Pegawai KKM tidak terbabit pelaburan saham patuh syariah – KKM

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan pegawai kanan dan bekas pegawai kementerian itu mempunyai kaitan dengan pelaburan saham seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, KKM memaklumkan mengambil maklum bahawa terdapat penyebaran maklumat palsu yang tular di media sosial berkenaan posting “Sistem Trading Patuh Syariah: Kembangkan Simpanan Anda.”

“Hantaran tersebut telah menggunakan gambar-gambar Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian), Dr Noormi Othman; Pengarah Bahagian Amalan dan Perkembangan Kesihatan Pergigian, Dr Fauziah Ahmad, serta bekas Pengarah Bahagian Amalan dan Perkembangan Kesihatan Pergigian, Dr Mazlina Mat Desa.

“Poster yang disediakan oleh pihak tidak bertanggungjawab ini dipercayai telah dikongsikan menerusi media sosial Whatsapp dan Facebook

“Doktor-doktor yang terpampar dalam gambar tersebut tidak ada kena mengena dengan pelaburan saham seperti yang dinyatakan,” menurut kenyataan itu.

KKM juga memohon agar maklumat palsu itu tidak dikongsi atau disebarkan. – Malaysiapost

Komen