Peja mohon maaf, dakwa kenyataan ‘sorakan penyokong’ disalahtafsir

Peja mohon maaf, dakwa kenyataan ‘sorakan penyokong’ disalahtafsir

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memohon maaf kerana mengaitkan sorakan dan sokongan daripada penonton antara punca kekalahan skuad Harimau Malaya 1-2 kepada Bahrain dalam aksi kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, sokongan pemain ke-12 kepada skuad Harimau Malaya pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023 amat penting dan dihargai.

Malah, beliau mendakwa kenyataannya berhubung sorakan penyokong itu telah disalaherti.

“Sorakan dan sokongan penyokong sebagai pemain ke-12 amat penting dan amat dihargai.

“(Bila dah kena balon, saya pun pening). Cakap-cakap bola saya sebelum ini telah disalah erti. Ampun dan maaf atas kesilapan saya,” ciapnya di Twitter.

Terdahulu, Ahmad Faizal tampil membela penjaga gol, Farizal Marlias susulan kesilapan dilakukannya hingga menyebabkan skuad kebangsaan tewas 1-2 kepada Bahrain dalam aksi kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Katanya, faktor luaran termasuk membabitkan lebih 63,000 penonton di stadium ketika perlawanan itu berlangsung juga harus diambil kira atas kekalahan itu apabila sorakan mereka secara tiba-tiba dilihat menyebabkan pemain skuad negara hilang fokus sewaktu perlawanan.

Sementara itu, EXCO Pemuda Umno Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, menyifatkan kenyataan Ahmad Faizal mengenai pemain Harimau Malaya hilang fokus kerana 63,000 penyokong bersorak ketika mendahului pasukan Bahrain 1-0 tidak wajar.

Menurutnya, kenyataan itu tidak matang dan seolah-olah tidak faham mengenai bola sepak.

“Kenapa penyokong perlu dipersalahkan? Kami hadir memberikan sokongan dan penyokong Ultras Malaya berjam-jam bersorak dan menyanyikan lagu semangat agar pemain terus mengekalkan rentak permainan sehingga tamat perlawanan.

“Awak duduk di bangku VVIP pun bersorak juga. Kenapa nak salahkan penyokong lain? Kalau tidak tahu membuat kenyataan, baik diam,” katanya. – Malaysiapost

Komen