Polis siasat kumpulan lelaki sokong tindakan menghina Nabi Muhammad SAW 

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan berhubung sekumpulan lelaki yang berkumpul dihadapan kuil di Batu Caves dan menyatakan menyokong tindakan menghina Nabi Muhammad SAW di India.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata pihaknya kini sedang menjalankan siasatan susulan penularan video rakaman video menerusi aplikasi TikTok ‘Gangarammahato280’ yang memaparkan tindakan kumpulan lelaki terbabit yang dipercayai warga asing.

“Video berkenaan memaparkan kumpulan berkenaan menyatakan pendirian menyokong perjuangan Hindu Samachar serta tindakan Nupur Sharma, ahli politik dari Parti Bharatiya Janata yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

“Rakaman video berdurasi satu minit 18 saat itu telah mendapat 16,000 tontonan, 52 tanda suka, dan 302 Komen serta turut dikesan tular melalui pelbagai aplikasi media sosial lain seperti Facebook dan WhatsApp,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau golongan awam.

“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.

Beliau berkata, siasatan Masih diteruskan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

“PDRM turut menasihatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu yang menyentuh sensiviti agama dan kaum.

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya. – Malaysiapost 

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights