“INSYAALLAH ada yang lebih baik, bye-bye Ferrea (nama perumahan),” demikian luah pelawak dan pengacara, Shuk Sahar.
Kenyataan itu dibuat menerusi hantaran di Instagram, apabila terpaksa ‘melepaskan’ rumahnya yang terletak di Denai Alam, Shah Alam dengan nilai RM1.2 juta kepada pembeli baharu.
Menerusi hantaran sama, bekas pengacara program hiburan ‘I Can See Your Voice’ Malaysia itu, turut memuat naik video memaparkan proses memindahkan barang rumah dari kediaman dua tingkat tersebut.
Malah, Shuk atau nama sebenarnya, Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 36, berharap rezeki dan kehidupannya menjadi lebih baik dengan izin Allah SWT pada masa akan datang.

Rakaman berdurasi satu minit itu menyaksikan beberapa individu sedang melakukan kerja untuk membawa keluar pelbagai perabot dan kelengkapan rumah dengan menggunakan perkhidmatan lori.
Hantaran tersebut mendapat reaksi pelbagai daripada warga netizen termasuk ada yang meminta artis itu bersabar menempuhi ‘turun-naik’ dalam kehidupan.

Selain itu, ada juga yang menasihati Shuk supaya menjadi lelaki yang lebih baik selepas ini, dan mengambil iktibar daripada kes curang terhadap isterinya Sera, sebagai pengajaran yang tidak akan diulangi lagi.
joe.ekey berkata: “Be strong, InsyaAllah ada hikmahnya. Apa yang Allah simpan itu lebih baik utk kita ‘sooner or later’ kita akan nampak hikmahnya. Semoga Allah mudahkan urusan sekeluarga.”
tatie0911 berkata: “Sebenarnya jadi pengajaran buat semua. Isteri itu pintu rezeki buatmu. Kau berjaya macam sekalipun sebahagian rezeki itu milik isteri dan anak-anak.”
Sebelum ini, Shuk yang juga bapa kepada dua cahaya mata itu nekad menjual rumah miliknya kerana memerlukan wang bagi menjelaskan hutang kad kredit, cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan meneruskan kehidupan. – Malaysiapost