KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan bahawa Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan ditutup mulai esok, bagi memulakan kerja baik pulih.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata keperluan baik pulih dan penambahbaikan adalah amat mendesak dan tidak boleh ditangguhkan.
Beliau berkata, KBS memandang serius terhadap isu kualiti padang serta fasiliti Stadium Nasional Bukit Jalil dan tidak boleh terus memperjudikan maruah negara dengan melengahkan lagi tindakan yang sewajarnya.
“Isu kualiti padang serta fasilitinya adalah isu legasi yang harus ditangani secara pantas dan tuntas.
“Perancangan awal KBS adalah menutup Stadium Nasional pada penghujung Mac 2023 untuk memulakan kerja-kerja baik pulih namun keadaan semasa memerlukan tindakan yang lebih segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan hujan lebat sebelum perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 Kumpulan E antara Malaysia dengan Bahrain pada Sabtu lalu menyaksikan permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil ditakungi air.
Situasi itu memaksa petugas stadium terpaksa menolak air secara ‘manual’ menggunakan penyodok dan kadbod bagi memastikan permukaan padang dapat digunakan.
Insiden berkenaan mengundang perdebatan di media sosial selepas netizen menyifatkan permukaan padang seperti ‘bendang’ dan ia juga menjatuhkan imej Malaysia. – Malaysiapost