TOKOH pendidikan negara, Tun Dr Arshad Ayub meninggal dunia di sebuah hospital pada jam 2.06 pagi tadi.
Perkara itu disahkan keluarga Allahyarham menerusi satu kenyataan, hari ini.
“Dukacita dimaklumkan bahawa Ayahanda tercinta kami, Allahyarham Tun Arshad Ayub, telah kembali ke Rahmatullah pada jam 2.06 pagi tadi, 14 Jun 2022.
“Jenazah Allahyarham masih berada di hospital dan urusan seterusnya akan di maklumkan kelak insya-Allah.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Diharap agar sama-sama dapat sedekah Al Fatihah buat Allahyarham,” menurut kenyataan itu.
Arshad dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sejak Selasa minggu lalu kerana masalah kesihatan.
Arshad, 93, adalah pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM) sejak 1967 sehingga 1975, sekali gus pencetus idea kepada perkembangan pendidikan di Institut Teknologi Mara yang kini dikenali sebagai UiTM.
Anak kelahiran Muar, Johor itu pernah bertugas sebagai Ketua Setiausaha kementerian dan berkecimpung dalam dunia perniagaan serta menjadi ahli lembaga pengarah untuk beberapa syarikat awam dan juga badan-badan berkanun. – Malaysiapost