Warga UAE rugi hampir RM4 juta ditipu pasangan suami isteri
SINDIKET penipuan emel perniagaan atau ‘business email compromised (BEC)’ berjaya ditumpaskan dengan penahanan pasangan suami isteri membabitkan lelaki Nigeria berusia 43 tahun dan wanita tempatan berusia 41 tahun dalam satu serbuan polis di Semenyih, Selangor semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata berdasarkan siasatan, sindiket berkenaan telah melakukan penipuan terhadap seorang lelaki warganegara Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang menetap di Dubai melibatkan kerugian berjumlah RM3,907,308.
“Dalam kes ini, pengadu telah berurusan dengan Syarikat Oyak Cimento Fabrikalari Amerika Syarikat (AS) melalui email untuk pembelian bahan simen “granulated blast furnace slag” berjumlah 41,000 metrik tan.
“Sepanjang perbincangan dilakukan, pihak penjual telah menggunakan alamat email [email protected]. Bagaimanapun, pihak pengadu seterusnya menerima email daripada alamat [email protected].
“Mangsa diarahkan membuat pembayaran bagi urusniaga tersebut dibuat ke akaun bank milik Syarikat Oyak Cement Fabrikalari Trading di Malaysia. Setelah pembayaran dibuat, pengadu tidak menerima barangan yang dijanjikan,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Beliau berkata, dalam serbuan yang dijalankan, turut dirampas adalah sebuah kereta jenis Mercedes Benz S300L, kereta jenis Proton Exora 1.6L,enam telefon bimbit pelbagai jenama, dua jam tangan, dua komputer riba, 10 unit cop, barang kemas, dokumen dan pelbagai barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan yang dijalankan.
“Kedua-dua suspek yang ditahan kini direman selama empat hari bermula hari ini dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurutnya, sebagai langkah pencegahan, masyarakat khususnya ahli perniagaan yang menggunakan email dalam urusan seharian diingatkan agar sentiasa berhati-hati.
“Pastikan email yang diterima adalah benar-benar daripada pihak pembeli atau penjual. Waspada sekiranya terdapat arahan berkaitan perubahan akaun bank bagi tujuan pembayaran.
“Sebaiknya, hubungilah syarikat penjual/pembeli melalui panggilan telefon bagi mendapatkan pengesahan berkenaan perubahan akaun tersebut,” katanya. – Malaysiapost