Arthur Chiong disahkan menang DUN Bukit Batu

KEMENANGAN calon PKR, Arthur Chiong Sen Sern pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Mac lalu disahkan oleh Mahkamah Pilihan Raya di Johor Bahru, hari ini.

Biro Guaman Jabatan Pilihan Raya Pusat PKR dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat Hakim Azizul Azmi Adnan yang menolak petisyen pilihan raya daripada calon Barisan Nasional (BN), S Suppayah.

Susulan itu Suppayah diarah membayar kos sebanyak RM30,000 kepada responden pertama iaitu Chiong dan RM30,000 kepada responden kedua serta responden ketiga iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mahkamah memutuskan bahawa petisyen Suppayah adalah “rosak” dan tidak mematuhi keperluan bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Alasan penghakiman yang lebih terperinci akan dimuat naik oleh pihak mahkamah pilihan raya menerusi laman sesawang rasmi kehakiman dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

G Manivanan, Adi Zulkarnian Zulkafli, Lau Yi Leong, Adly Zulfadhly Zulkefly dan Tan Wye Nye mewakili Chiong manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly, Raja Shahril Anuar Raja Baniamin dan Sallehuddin Md Ali mewakili SPR.

Manakala Rajasekaran Thiyagarajan pula mewakili Suppayah.

Chiong memenangi kerusi Bukit Batu dengan majoriti 137 undi dalam PRN Johor pada 12 Mac lalu dengan menewaskan Suppayah, Tan Heng Choon daripada Perikatan Nasional (PN) dan Lee Ming Wen daripada Warisan.

Susulan itu MIC yang tidak berpuas hati dengan kemenangan tipis itu menuntut SPR mengira semula kertas undi kerusi DUN Bukit Batu berikutan MIC tewas hanya 137 undi pada PRN itu.

Suppayah mendakwa permintaannya untuk mengira semula undi di beberapa pusat pengundian ditolak oleh pegawai SPR dan penolakan permintaannya itu tidak mematuhi undang-undang kecil pilihan raya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights