Doakan keputusan cemerlang SPM 2021 esok – Radzi Jidin

MENJELANG keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan diumumkan esok, calon-calon yang menantikannya diingatkan agar menerimanya dengan hati yang terbuka.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, mendoakan agar calon-calon berkenaan diberikan ketenangan dan dipermudahkan urusan untuk menerima keputusan peperiksaan itu esok.

“Esok keputusan SPM 2021 akan diumumkan. Untuk anak-anak SPM 2021, inilah sedikit pesanan daripada pakcik.
Pak cik doakan agar anak-anak diberikan ketenangan dan dipermudahkan urusan.

“Keputusan SPM akan dikeluarkan mulai jam 10 pagi. Pakcik doakan yang terbaik kepada anak-anak semua dan ingatlah apa sahaja keputusan yang anak-anak akan dapat esok terimalah dengan hati yang terbuka,” pesanannya dalam satu rakaman video di laman Facebooknya, hari ini.

Beliau turut mengingatkan kepada calon-calon SPM 2021 bahawa perjalanan hidup mereka masih panjang dan masih jauh serta tentunya banyak ruang dan peluang untuk anak-anak di masa hadapan.

“Apa yang penting adalah terus lakukan yang terbaik dan ingatlah ‘nothing base hard work’,” katanya.

Pada 1 Mac lalu seramai 407,097 calon ujian bertulis peperiksaan SPM 2021 menduduki peperiksaan itu berbanding kebiasaan yang diadakan pada akhir tahun persekolahan susulan negara dilanda pandemik Covid-19.

Keputusan SPM 2021 boleh disemak dengan hadir ke sekolah masing-masing, melalui pos dan semakan secara dalam talian mulai jam 10 pagi esok. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights