Enggan alih kereta punca gaduh

POLIS telah memanggil dua individu yang tular di media sosial kerana terbabit dalam pergaduhan di Persiaran Kerjaya Glenmarie, Seksyen U1, Shah Alam, Selangor pada Isnin lalu, bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata lelaki berumur 31 tahun yang bekerja sebagai juru runding di Subang Business Centre, merupakan salah seorang individu terlibat.

Katanya, lelaki tersebut adalah penunggang motosikal dan mangsa membuat laporan polis pada hari sama selepas berlaku kejadian pergaduhan tersebut.

“Siasatan awal mendapati sekitar jam 7.15 petang itu, berlaku pertengkaran mulut apabila suspek seorang lelaki berumur 29 tahun yang menaiki kereta jenis Naza Ria enggan mengetepikan keretanya ketika di Persiaran Kerjaya, menyebabkan motosikal mangsa dan penunggang motosikal yang lain tidak dapat meneruskan perjalanan.

“Justeru, pertengkaran mulut berlaku disusuli dengan pergaduhan yang akhirnya dileraikan oleh orang ramai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Iqbal berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan secara baik dan mangsa hanya membuat ‘covering report’ sahaja.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan penjara selama tempoh setahun, atau dengan denda RM 2,000, atau kedua-duanya.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut,” katanya.

Namun, beliau memaklumkan lelaki yang membuat laporan polis telah menarik balik laporan yang dibuat sebelum ini. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights