NAIB Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, menyifatkan maklum balas Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengenai pencen dan kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), mengecewakan dan tidak ikhlas.
Beliau berkata, kenyataan Hishammuddin menyatakan isu tersebut tidak boleh diselesaikan oleh Kementerian Pertahanan secara sendirian, kerana ia ada kaitan dengan kemampuan kewangan negara, dianggap tidak wajar.
Katanya, Kementerian Pertahanan yang sepatutnya mencari jalan penyelesaian bagi membela nasib veteren ATM.
“Jelas ia jawapan untuk lari daripada persoalan ini. Ya, kebajikan veteran, termasuk isu pencen, merentas tanggungjawab pelbagai Kementerian lain.
“Namun, siapa lagi kalau bukan Kementerian Pertahanan harus menjuarai soal kebajikan veteran? Tidak seperti sesetengah negara lain seperti Australia, Kanada, China dan Amerika Syarikat, Malaysia tidak mempunyai Kementerian Hal Ehwal Veteran.
“Jadi, siapa lagi dalam kerajaan dan Kabinet, yang patut bertindak sebagai pejuang, penyokong dan pembela veteran jika bukan Menteri Pertahanan?,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Nik Nazmi berkata, nasib veteran Malaysia semakin mendapat perhatian, selepas protes di Tugu Negara oleh kira-kira 1,000 orang veteran, baru-baru ini, namun ia disifatkan amat menyedihkan.
Ini kerana katanya, melihat veteran tiada pilihan melainkan berdemonstrasi kerana mereka dinafikan kehidupan bermaruah selepas pengorbanan sekian lama.
“Para veteran yang turun ke Tugu Negara tidak meminta Hishammuddin mengibaskan tongkat sakti untuk menyelesaikan masalah mereka, sebaliknya menunjukkan rasa prihatin, dan lebih penting inisiatif dan kepimpinan.
“Sekurang-kurangnya Hishammuddin perlu berbincang, menggalakkan dan mendesak rakan-rakan dalam Jemaah Menteri untuk memberi tumpuan merumus dan kemudian melaksanakan penyelesaian kepada cabaran getir yang dihadapi,” katanya.
Beliau berkata, jika bukan Menteri Pertahanan yang sanggup mengetuai usaha mendesak bagi membantu bekas-bekas perajurit ini, maka siapakah lagi yang dapat membantu mereka.
“Apa peluang yang veteran ada?
Apakah rancangan kerajaan ini untuk veteran? Tidak lama selepas menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pada Ogos 2021 beliau akan mengkaji cadangan bagi memastikan semua veteran mendapat pencen.
“Pada Mei 2021, Hishammuddin menjanjikan berita baik tentang pengampunan kesalahan tentera dan penambahbaikan pencen balu tentera.
“Justeru, apa terjadi kepada kajian dan berita baik yang diuar-uarkan ini? Hari, minggu dan bulan berlalu, dan penderitaan veteran kita berterusan. Di mana rasa mustahaknya? Di mana kepimpinannya? Maka, tidak hairanlah veteran kita berasa terabai dan tidak berpuas hati,” katanya. – Malaysiapost