JIM beri kerjasama siasatan 7 pegawai ditahan SPRM
JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan tujuh Pegawai Imigresen oleh agensi berkenaan, kelmarin.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata penahanan kesemua pegawai berkenaan juga adalah hasil daripada kerjasama antara JIM dan SPRM khususnya dari segi perkongsian maklumat.
Menurutnya, penahanan pegawai-pegawai terbabit adalah kerana mereka disyaki terlibat dalam aktiviti pengeluaran pas dan dokumen imigresen secara tidak teratur serta dituduh melindungi warga asing.
“Kerjasama sepenuhnya akan diberikan kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan mereka yang akan dilaksanakan secara penuh profesional.
“Jabatan ini tidak akan berkompromi dengan pegawai atau kakitangan yang didapati menyalahgunakan kuasa bagi tujuan kepentingan peribadi serta memperolehi wang secara mudah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau memberi maklum balas berhubung laporan beberapa akhbar tempatan dan atas talian mengenai penahanan tujuh orang Pegawai Imigresen oleh SPRM pada 13 Jun lalu.
Khairul Dzaimee turut menegaskan kesemua yang terbabit akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk dipenjara dan ditamatkan perkhidmatan jika didapati bersalah.
Terdahulu media melaporkan SPRM menahan tujuh pegawai penguatkuasa dan dua individu termasuk warga asing bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM500,000.
Enam pegawai penguatkuasa termasuk pegawai kanan itu ditahan di Sarawak manakala seorang lagi di Selangor. – Malaysiapost