Keluarga Muhammad Adib tarik rayuan, tidak mahu panjangkan kes

KELUARGA anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim menarik balik rayuan permohonan komital terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas atas tuduhan menghina mahkamah.

Firma guaman, Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates yang mewakili keluarga Muhammad Adib berkata, rayuan itu ditarik balik kerana keluarga Muhammad Adib tidak lagi mahu memanjangkan perkara tersebut.

“Susulan daripada arahan keluarga Muhammad Adib agar rayuan bapanya, Mohd Kassim Abdul Hamid ditarik balik, peguam telah memfailkan Notis Menarik Balik Rayuan pada 31 Mei lalu, diikuti Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mewakili Tommy Thomas memfailkan penarikan rayuan semalam.

“Maka dengan itu, keluarga Muhammad Adib menganggap bahawa proses dan prosiding penghinaan mahkamah terhadap Tommy Thomas dan AGC selesai dan tamat di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, menurut kenyataan itu, pihak keluarga Muhammad Adib berharap agar masyarakat dapat membenarkan mereka untuk meneruskan kehidupan dengan memandang ke hadapan serta memulakan kehidupan baharu.

Jelas firma itu, terdapat tiga rayuan sedang berlangsung di Mahkamah Rayuan.

“Pertama, rayuan oleh AGC bagi menegaskan bahawa hakim koroner tiada bidang kuasa untuk mendengar dan menghukum seseorang, termasuk Tommy Thomas atas kesalahan menghina mahkamah.

“Manakala dua lagi rayuan Mohd Kassim, 66, bagi mencabar keputusan mahkamah tinggi yang memutuskan bahawa Tommy Thomas mempunyai hak merayu dan rayuannya diterima,” katanya.

Kata firma itu, rayuan AGC tersebut telah sebelum ini didengar oleh Panel Mahkamah Rayuan yang kemudiannya pada 8 Februari 2022 memutuskan menolak rayuan tersebut.

“Ia sekali gus mengesahkan bahawa hakim koroner sememangnya mempunyai bidang kuasa untuk mendengar prosiding komital serta menghukum seseorang atas kesalahan menghina mahkamah.

“Susulan keputusan tersebut, AGC telah seterusnya memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan, iaitu tingkat tertinggi kehakiman di negara ini.

“Dua lagi rayuan oleh bapa Muhammad Adib telah digantung pendengarannya, sementara menantikan proses rayuan ke Mahkamah Persekutuan oleh AGC tersebut,” katanya.

Tegas pasukan peguam itu, meskipun keluarga mengambil langkah untuk tidak meneruskan rayuan tersebut, keputusan penyelesaian di peringkat rayuan penghinaan mahkamah tidak sama sekali mengusik atau mengubah keputusan dan dapatan oleh Mahkamah Koroner pada 27 September 2019.

“Yang mengesahkan bahawa Muhammad Adib mati dipukul walaupun pembunuhnya tidak dapat ditemui hingga ke hari ini dan bahawa kematian arwah turut disumbangkan oleh kegagalan pasukan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal rusuhan.

“Alasan penghakiman setebal 52 halaman oleh Hakim Koroner Rofiah Mohammad itu tidak pernah diakas oleh mana-mana nahkamah yang lebih tinggi dan dengan yang demikian itu ia kekal sebagai dapatan fakta yang autoritatif,” katanya.

Katanya lagi, pendirian keluarga arwah untuk menarik balik rayuan komital ini juga tidak bererti bahawa usaha mencari pembunuh Muhammad Adib tidak boleh diteruskan oleh polis kerana siasatan jenayah tiada had masa di sisi undang-undang.

“Perjuangan menuntut keadilan untuk seorang anggota kerajaan yang mati dibunuh ketika dalam bertugas menjaga keamanan juga boleh diteruskan oleh mana-mana masyarakat sivil, orang awam serta badan-badan bukan kerajaan yang prihatin,” katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN) susulan mengalami kecederaan parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights