KERAJAAN akan membincangkan imbuhan sewajarnya kepada skuad Harimau Malaya atas kejayaan layak ke Piala Asia selepas menamatkan penantian selama 42 tahun untuk beraksi dalam kejohanan berprestij itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Kementerian Belia dan Sukan serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat.
“Segala bentuk imbuhan dan sebagainya kita akan bincangkan nanti bersama menteri berkenaan iaitu Menteri Belia dan Sukan kepada mereka.
“Ia mengenai keraian atau apa-apa sumbangan yang akan diberikan, kita akan berbincang mengenainya,” katanya kepada pemberita selepas hadir dalam persidangan Parlimen Belia Malaysia Tahun 2022 di hari ini.” kata Ismail Sabri kepada wartawan selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sijil Penghargaan Ahli Parlimen Belia di Bangi, hari ini.
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih atas semangat juang yang dipamerkan oleh semua pemain ketika menewaskan Bangladesh 4-1 dalam perlawanan malam tadi.
Ismail Sabri juga menghargai dan berterima kasih kepada semua penyokong Malaysia terutamanya Ultras Malaya yang telah membantu skuad negara menerusi sokongan yang menakjubkan.
Beliau berharap momentum kejayaan dan sokongan yang ditunjukkan itu akan dikekalkan ketika mengharungi cabaran seterusnya untuk terus merekodkan kemenangan selepas ini.
“Ini cuma ujian pertama yang kita lepasi, ujian lebih besar adalah pada Piala Asia nanti untuk dapatkan tempat terbaik dalam pertandingan.
“Diharapkan semangat juang ini dapat diteruskan untuk mengembalikan nama Malaysia di peringkat antarabangsa terutama sekali di peringkat Asia,” katanya. – Malaysiapost