KEDUDUKAN ranking dunia Harimau Malaya melonjak tujuh anak tangga susulan berjaya mengesahkan layak ke Piala Asia 2023.
Anak buah Kim Pan Gon yang meraih dua kemenangan dalam Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 sekali gus melonjak Malaysia ke tangga 147 ranking FIFA.
Berdasarkan data di laman Twitter milik FIFA, Malaysia berjaya mengumpul 15.46 mata tambahan susulan kemenangan ke atas Turkmenistan dan Bangladesh sekali gus merekod kedudukan ranking terbaik yang pernah dicapainya sejak 2011.
Sebelum pusingan kelayakan bermula, Malaysia berada di kedudukan 154 ranking FIFA.
Kedudukan ranking FIFA ini amat penting bagi Malaysia kerana dapat menentukan kumpulan pasukan ketika penentuan undian kumpulan Piala Asia 2023 nanti.
Malaysia kembali ke pentas Piala Asia selepas layak secara merit setelah 42 tahun apabila menundukkan Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Kemenangan itu meletakkan Malaysia sebagai naib juara Kumpulan E di belakang Bahrain, namun layak ke Piala Asia 2023 berikutan format pertandingan, lima naib juara terbaik dalam kalangan enam kumpulan layak ke kejohanan berkenaan. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook FAM