AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok tidak bercukai bernilai RM105,000 , semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, bot samaran Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Operasi Makmur, mengesan sebuah bot fiber yang mencurigakan di kedudukan 2.6 batu nautika dari barat daya muara Kuantan sekitar jam 1.35 pagi.
Menurutnya, terdapat dua suspek di dalam bot itu dan sedang bergerak di persisiran pantai menuju ke sungai Kuantan.
“Sebaik dihampiri, bot suspek memecut laju ke hulu Sungai Kuantan dan bertindak meninggalkan bot fiber terbabit dengan meloloskan diri di celahan hutan bakau,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Kamal Ariffin berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 35 peti berisi rokok tidak bercukai disyaki cuba diseludup untuk dipasarkan di pasaran tempatan.
“Kesemua rokok dianggarkan bernilai RM 105,000 termasuk cukai, dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pahang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia dan akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” katanya.
Menurutnya, Maritim Pahang akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan di laut dari semasa ke semasa bagi memastikan sebarang kesalahan dan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras agar perairan negeri itu sentiasa selamat, aman dan terkawal.
“Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999,” katanya. – Malaysiapost