PROJEK Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu membabitkan 12 stesen akan dibuka kepada orang ramai mulai jam 3 petang esok.
Laluan dari Stesen MRT Kwasa Damansara ke Stesen MRT Kampung Batu itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Berdasarkan maklumat di laman Facebook MRT Corporation, anggaran masa perjalanan dari Stesen MRT Kwasa Damansara ke Stesen MRT Kampung Batu adalah 24 minit.
“MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu akan dilancarkan oleh YAB Dato Sri Ismail Sabri Bin Yaakob pada 16 Jun 2022!
Daftar dan saksikan siaran langsung Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu secara maya di www.jomnaikmrt.com.
“Fasa Satu sepanjang 17.5 kilometer (km), yang meliputi 12 Stesen dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu akan dibuka kepada orang ramai mulai jam 3 petang esok,” menurut MRT Corporation.
Seperti MRT Laluan Kajang, MRT Laluan Putrajaya ini akan dikendalikan oleh Rapid KL.
“Perkhidmatan bas perantara MRT akan beroperasi di sepanjang MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu. Muat Turun Peta Laluan Bas Perantara MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di https://bit.ly/3Qnx1ob.
“Bas ini akan dikendalikan oleh Rapid KL. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.myrapid.com.my atau hubungi hubungi talian bantuan 03-7885 2585,” menurut MRT Corporation lagi. – Malaysiapost