Pan-gon kongsi perkembangan Harimau Malaya dengan TMJ
PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon, berkongsi segala perkembangan mengenai pasukan negara dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sepanjang kempen Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) dan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melalui laman Instagram miliknya.
TMJ berkongsi beberapa tangkap layar perbualan WhatsApp dengan pengendali negara dari Korea Selatan berusia 53 tahun itu.
Berdasarkan tangkap layar itu, Pan-gon dilihat berkongsi senarai kesebelasan utama pasukan negara ketika aksi menentang Turkmenistan, Bahrain dan terbaharu menentang Bangladesh yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pan-gon juga memaklumkan setiap perkembangan skuad Harimau Malaya ketika aksi persahabatan pada Mac lalu di Singapura selain dalam tiga aksi pemanas badan bertemu Brunei, Hong Kong dan Negeri Sembilan FC.
Dalam satu daripada tangkap layar yang dikongsikan, Pan-gon juga dilihat meminta Tunku Ismail mempertimbangkan semula keputusan berundur daripada mengendali pasukan JDT.
Terdahulu dalam sidang media selepas tamat aksi terakhir Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023 malam tadi, Pan-gon turut mengucapkan terima kasih kepada TMJ susulan 15 pemain JDT bermain bersama pasukan kebangsaan.
Dalam pusingan kelayakan itu, skuad negara berjaya menempah slot ke Piala Asia selepas berjaya membenam Bangladesh 4-1, sekaligus menamatkan penantian selama 42 tahun untuk beraksi dalam pertandingan berprestij itu.
Kali terakhir skuad Harimau Malaya layak secara merit ke Piala Asia pada 1980 di Kuwait dengan pasukan negara menamatkan saingan di tempat keenam daripada 10 negara yang layak. – Malaysiapost