Pegawai polis maut digilis lori 

PEGAWAI polis maut selepas digilis sebuah lori di Kilometer 11 Lebuhraya Grandsaga arah Kuala Lumpur semalam. 

Dalam kejadian 4.45 petang itu, Inspektor Mohd Farhan Zahari dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah di Gombak selepas mengikuti kursus di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

“Siasatan mendapati semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa cuba memotong sebuah lori di bahu kiri jalan namun keadaan jalan berpasir menyebabkan motosikal hilang kawalan lalu terjatuh di hadapan tayar lori. 

“Akibatnya, mangsa digilis oleh lori yang sedang bergerak terus di laluan sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Azman berkata, susulan kejadian itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia. 

“Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.  

Kredit Foto: Metro

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights