PEMUDA PAS dinasihatkan agar menasihati pucuk pimpinan parti sendiri sebelum mencampuri parti lain.
Pengarah Komunikasi Pemuda Umno, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata Pemuda PAS juga perlu bermuhasabah sekali gus menilai adakah Umno terlebih dahulu mengkhianati persahabatan dengan parti itu.
“Ketua Penerangan Pemuda PAS, Nazir Helmi rasanya perlu ajak PAS bermuhasabah dan menasihati pucuk pimpinan partinya terlebih dahulu berhubung sikap ‘khianat’, sebelum mencampuri hal ehwal pucuk pimpinan parti lain.
“Jika mahu bicara soal ‘khianat sahabat’ saya nak kongsi sedikit kronologi bukan rekaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kenyataan Nazir yang menyarankan Presiden Umno supaya berehat sementara daripada arena politik bagi memberi tumpuan kes pendakwaannya di mahkamah.
Nazir berkata demikian sebagai serangan balas ucapan Ahmad Zahid terhadap PAS dalam satu program Barisan Nasional (BN) minggu lalu.
Menjelaskan mengenainya, Syed Mohd Johan menyenaraikan kronologi sikap PAS setelah membentuk gagasan Muafakat Nasional (MN) pada September 2019.
Menurutnya, pada 4 Jun 2020, mesyuarat jawatankuasa induk MN, Umno dan PAS setuju untuk menolak Perikatan Nasional (PN) didaftarkan dan kerajaan yang terbentuk hanyalah bersifat kerjasama longgar antara 13 parti.
“17 Jun 2020, mesyuarat jawatankuasa induk MN dipengerusikan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menegaskan pendirian PAS kekal tidak setuju untuk menyertai PN, malah beliau mengatakan sebarang keputusan akan dibuat secara bersama dengan Umno.
“8 Julai 2020, mesyuarat jawatankuasa induk MN, Tuan Ibrahim menegaskan pendirian PAS untuk tidak daftarkan PN mahupun MN. Malah Dr. Zuhdi (PAS) mahu MN diutamakan sebagai gagasan dan diperkasakan.
“Malah lebih yakin pada 9 Ogos 2020, menyatakan secara terbuka menerusi media, menafikan dakwaan yang mengatakan PAS menyertai PN,” katanya.
Bagaimanapun, Syed Mohd Johan berkata, mungkin kerana PAS diserang penyakit ‘Alzheimer’, selepas 10 hari keputusan mesyuarat dan kenyataan media, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan kepada media bahawa PAS akan menyertai PN pada 19 Ogos 2020.
“Dan kini, PAS adalah rasmi di antara parti komponen besar PN yang telah didaftarkan. Saya cabar pimpinan PAS nafikan fakta kronologi di atas!” katanya.
Justeru, Syed Mohd Johan menasihatkan Nazir Helmi agar jangan cuba menasihatkan Presiden Umno yang mendakwa PAS takut kalah 18 kerusi Parlimen sekiranya pilihan raya diadakan awal.
“Janganlah biar institusi Dewan Pemuda PAS juga terjangkit dengan penyakit ‘Alzheimer’ pimpinan hingga berani mahu menasihati Presiden kami soal ‘khianat’ pada sahabat.
“Nazir sewajarnya sedarkan pucuk pimpinan PAS tentang sikap khianat PAS yang memalukan nama baik PAS itu di mata sahabat dan rakyat yang menyaksikan Piagam MN dimetrai dengan linangan air mata akhirnya kini tidak lagi bermaya,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan, Umno tiada masalah dan sentiasa menyokong kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
“Untuk makluman Ketua Penerangan Pemuda PAS itu, Umno sememangnya yakin dengan kepimpinan Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan keyakinan itu dizahirkan dengan keputusan majlis mesyuarat MKT Umno menjadikan beliau sebagai “poster boy” BN pada PRU15 nanti.
“Jadi usahlah risau, pucuk pimpinan Umno sememangnya senada dan tiada unsur khianat antara kami keluarga Umno.
“Janganlah bersikap seperti ‘anak ketam nak mengajar si ibu sembilang berenang lurus’. walhal diri sendiri pun berenang tak betul,” katanya. -Malaysiapost