PM ucap tahniah, bangga kejayaan Harimau Malaya ke Piala Asia 2023 

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan tahniah kepada skuad Harimau Malaya yang layak ke Piala Asia 2023 sekali gus menamatkan penantian 43 tahun untuk beraksi dalam saingan itu. 

Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut kagum dan bangga dengan semangat pasukan negara yang berjuang hingga tiupan wisel terakhir. 

Begitu juga penyokong yang memberi sorakan tidak berbelah bagi kepada skuad negara apabila menewaskan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi. 

“Sejarah tercipta buat Malaysia! Alhamdulillah, penantian 43 tahun berakhir apabila kita layak ke Piala Asia 2023! 

“Tahniah Harimau Malaya dan para pemain yang berjuang hingga ke tiupan wisel terakhir. 

“Tahniah juga kepada para penyokong yang menyokong pasukan kita tanpa berbelah bagi. Kita teruskan perjuangan di Piala Asia 2023,” katanya. 

Kali terakhir Malaysia membuat penampilan di Piala Asia ialah pada 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, namun sudah 42 tahun gagal layak secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights