Ranking daya saing Malaysia jatuh ketika kerajaan PN memerintah – Najib

Ranking daya saing Malaysia jatuh ketika kerajaan PN memerintah – Najib

KEDUDUKAN ranking Malaysia dalam Kedudukan Daya Saing Dunia (WCR) yang jatuh ke kedudukan paling corot sejak lebih 14 tahun lalu adalah dibawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN), kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu, berkata ranking berkenaan adalah bagi tahun lepas di mana negara di bawah ‘lockdown separuh masak’ dengan tempoh antara paling panjang di dunia ketika kerajaan PN memerintah.

“Ranking daya saing Malaysia jatuh ke kedudukan paling corot sejak lebih 14 tahun lalu. Guan Eng (Pengerusi DAP Lim Guan Eng) salahkan PM (Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) pula.

“Jika Guan Eng nak cari salah pun, carilah juga Menteri kanan Ekonomi merangkap menteri MITI, menteri ekonomi, menteri kewangan serta pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri – iaitu semua yang berkaitan langsung dengan keadaan ekonomi negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Ahli Parlimen Pekan itu, mengulas mengenai kenyataan Guan Eng yang mendakwa kejatuhan negara dalam kedudukan daya saing dunia merupakan amaran jelas tentang kegagalan tadbir urus yang baik oleh pentadbiran Ismail Sabri.

Najib berkata, paling aneh ialah Ahli Parlimen Bagan itu mengatakan Perdana Menteri gagal, namun beliau juga yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk sokong Perdana Menteri yang didakwanya gagal.

“Kamu kata gagal tapi kamu sokong gagal? Kenapa ya, Guan Eng?” soalnya sinis. – Malaysiapost

Komen