Surat terbuka kepada Peguam Negara – Bella perlukan pendakwa raya yang kompeten

Surat terbuka kepada Peguam Negara – Bella perlukan pendakwa raya yang kompeten

Assalamualaikum Yang Berbahagia Tan Sri Peguam Negara,

Buat pengetahuan Tan Sri, sejak Jun 2021 saya telah memulakan kempen #justiceforbella, dengan niat penuh ikhlas mahu mencari keadilan untuk seorang anak oku sebatang kara bernama Bella.

Saya meletakkan diri saya, sebahagian besar masa saya untuk berjuang demi anakanda Bella tanpa menghirau pelbagai cabaran, contohnya letter of demand (lod ) & saman komital ke atas saya oleh peguambela kes pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak kurang upaya adik Bella, demi menuntut sebuah keadilan di negara Malaysia.

Saya telah ke sana dan ke mari untuk menggesa pelbagai pihak untuk bangkit, bertindak dengan agresif, bekerja dengan proaktif, segera menyiasat dengan serius, jujur dan sehabis baik . Saya bersuara untuk kanak-kanak ini, saya menulis untuk kanak-kanak ini, saya juga tidak mengenali kanak-kanak ini secara peribadi tetapi luka dan parut di seluruh badan kanak-kanak ini mendahului segalanya.

Segala apa yang saya buat walau dilihat salah oleh OKT dan peguambela OKT namun saya tetap cekal melawan. Saya telah dikenakan saman komital kononnya saya menghina mahkamah dan saya telah lawan berhabisan sehinggalah Mahkamah mendapati saya tidak bersalah. Dan, walau dilihat salah oleh OKT dan peguam OKT namun saya yakin bahawa saya tidak keseorangan.

Rakyat Malaysia bersama sentiasa bersama saya. #JusticeForBella, Gerakan Menuntut Keadilan (GMK), Persatuan Down Sindrom Malaysia, Persatuan Bunga-Bunga Syurga Down Sindrom dan pelbagai pihak lagi sentiasa sebaris dengan saya.

Kadangkala saya terpaksa berhadapan dengan pelbagai rintangan sebagai rakyat biasa yang tiada kedudukan, tiada pangkat dan kuasa, ke hulu ke hilir mencari bantuan. Dengan umur saya begini adakah saya tidak penat. Amat penat. Kerana saya bukan berjuang duduk di kerusi di bawah bumbung dan di dalam aircond. Saya keluar ke sana ke mari, keluar masuk balai polis membuat laporan, membawa pihak ditindas membuat laporan, saya juga disiasat, handphone saya dirampas, ulang-alik ke PDRM Bukit Aman, ke Pejabat Peguam Negara, ke Pejabat Perdana Menteri, Ke Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sehinggalah ke Istana Negara.

Yang Berbahagia Tan Sri yang budiman,

Tujuan surat terbuka ini adalah untuk memberitahu sejujurnya kepada Yang Arif bahawa saya bertahan selama setahun ini dan segala hal ini tidak menjadi kudis untuk saya yang lemah ini. Namun, saya menjadi semakin lemah adalah kerana menyaksikan prestasi Timbalan Pendakwaraya (DPP) kes ini yang meruntun jiwa saya. Saya sendiri demi mencari keadilan dan kebenaran tidak keberatan hadir sendiri ke Mahkamah Seksyen Jenayah. Saya berpeluang melihat dan mendengar sendiri perbicaraan yang dijalankan.

Bukan sahaja hadir malah melalui bahan pembacaan saya melalui media dan juga melalui perkhabaran oleh rakan-rakan dan rakyat Malaysia yang pernah hadir ke perbicaraan ini secara terus memaklumkan kepada saya bahawa DPP kes ini tidak meyakinkan. Rakan-rakan peguam yang hadir ke mahkamah juga berasa sangat kecewa dengan DPP yang dihantar untuk kes ini. Sehingga ada yang mengeluarkan kenyataan,

“Kalau kes ini kalah, ia kalah disebabkan DPP yang tidak kompetan.”

Tan Sri yang memegang tanggungjawab terhadap rakyat,

Dari awal kami memerhatikan bahawa DPP sangat tidak perihatin terhadap soalan balas yang dikemukakan oleh peguambela terhadap saksi pendakwaan dan membiarkan peguambela mengemukakan soalan-soalan bersifat peribadi dan tidak relevan dengan kes yang sedang dibicarakan tanpa sebarang bantahan kepada mahkamah untuk memutuskan samada soalan bersifat peribadi tersebut relevan atau tidak. Saksi pendakwaan tersebut yang hanya berusia 19 tahun diserang secara peribadi berkaitan kisah-kisah sebelum saksi tersebut menjadi penghuni rumah perlindungan OKT oleh peguambela OKT tanpa sebarang bantahan.

Dengan bahasa mudah DPP langsung tidak menjaga saksi. Saksi seoalah-olah hadir ke mahkamah untuk diaibkan dan dibiarkan dicincang lumat tanpa perisai daripada DPP langsung!

DPP yang ditugaskan kelihatan langsung tidak bersedia atau tidak membuat persediaan yang mencukupi untuk mengendalikan perbicaraan dengan sempurna. DPP kelihatan tidak berupaya menanyakan saksi dengan baik dan lancar diperingkat pemeriksaan-awal sehingga kini pada peringkat pemeriksaan-semula, DPP masih teragak-agak dalam menanyakan soalan kepada saksi, tidak bersedia dengan soalan untuk diajukan, kelihatan terpaksa merangka kembali soalan apabila dibantah oleh peguambela atau ditegur oleh hakim. DPP juga kelihatan berulangkali terpaksa merujuk kembali kepada fail atau membelek rekod yang lepas dan bertanyakan rakan DPP kerana tidak mempunyai keyakinan dalam menanyakan soalan mengenai apa yang perlu di soal kepada saksi pendakwaan samada untuk membuktikan kes atau untuk saksi memberi penjelasan lanjutan pemeriksaan-balas peguambela. Selain itu mereka kerap hadir lewat ke mahkamah.

Seakan-akan DPP ini hanya hadir untuk menjalankan aktiviti mendakwa, hujung bulan ambil gaji. Langsung tiada jiwa, tiada strategi, tiada persiapa dengan saksi-saksi dan tiada kesungguhan untuk memenangkan kes ini. Lebih parah lagi, mereka ini seoalah-olah tidak mahu bekerjasama dengan pihak lain terutama para aktivis yang telah berjuang daripada hari pertama.

Yang lebih menampakkan betapa tempang dan lemahnya DPP ini adalah mereka membiarkan sahaja peguam-peguam di pihak pembelaan mengeluarkan kenyataan subsudice tanpa mengambil tindakan. Walhal perkara tersebut telah mengganggu saksi-saksi. Lebih menghairankan lagi adalah terdapat 2 peguam pembelaan terang-terangan mengaku mereka terlibat dalam kejadian dengan saksi di mahkamah, juga tidak dibantah supaya 2 peguam tidak boleh melakukan soal balas terhadap saksi dan terlibat dengan kes ini. Itu pun DPP hanya diam sahaja. Adakah kami masih boleh menaruh harapan terhadap DPP yang menjadi wakil kami di mahkamah? Hati kecil saya sudah terlalu untuk mempercayai mereka.

Saya juga membaca temubual wartawan kepada Peguam Pemerhati kes ini pada 13 Jun 2022 dimana DPP tidak memaklumkan lebih awal mengenai ketidakhadiran mangsa ke sesi pengecaman sebanyak 2 kali kepada peguam pemerhati dan peguambela sehinggakan peguam pemerhati memerlukan penjelasan lebih lanjut daripada DPP. Pada kali pertama mangsa dikatakan tidak sihat dan kali kedua juga tidak dapat hadir namun tidak diketahui sebabnya. Saya juga melihat DPP seoalah-olah tiada arah, tiada jiwa dan tiada strategi mengendalilan kes ini walaupun ia kes yang besar yang telah meraih perhatian seluruh rakyat Malaysia.

Tan Sri yang saya percaya cintakan keadilan,

Saya sebagai rakyat biasa, mewakili rakyat di Malaysia yang ingin melihat keadilan dan kebenaran dijalankan secara adil dan saksama, memohon dengan serendah-rendah diri supaya Tan Sri mempertimbangkan permintaan saya untuk menghantar DPP yang lebih progresif, yang lebih agresif, yang lebih bijak, dan yang lebih berjiwa rakyat supaya rakyat seperti saya yang berjuang dari awal berasa berbaloi dengan segala rintangan yang telah kami perjuangkan selama setahun ini. Jika tiada DPP seperti yang rakyat mahukan di dalam AGC, ramai peguam swasta bersedia untuk menjadi DPP untuk mewakili adik Bella dan rakyat Malaysia untuk kes ini.

Tan Sri yang dipandang tinggi oleh rakyat,

Tan Sri boleh mengambil masa dan menonton sendiri rakaman perbicaraan kes tersebut. Saya juga mendengar alasan-alasan yang mungkin digunakan oleh DPP seperti perlu buat permohohan dengan pihak atasan jika hendak melakukan apa-apa permohonan seperti komital dan lain-lain, banyak kerja dan banyak kes lain lagi.

Saya harap surat terbuka ini tidaklah disalah erti dan mesti diambil positif. Jika benar pihak AGC adalah agensi yang mewakili rakyat untuk menuntut keadilan dalam hal jenayah, saya percaya surat terbuka ini adalah teguran dan pandangan yang mesti dipandang serius dan segera diambil tindakan. Jangan pula saya yang dihukum.

Saya akhiri dengan taubat kepada Allah, dan permohonan maaf kepada Tan Sri jika ada terkasar bahasa. Sekian, terima kasih.

Penulis ialah aktivis #JUSTICEforBELLA

Komen