Tak pelik Muhyiddin calon PM – Chegubard
PENGARAH Operasi Pilihan Raya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin, mempertahankan pemilihan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri dan layak dijadikan ‘poster boy’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana beliau adalah pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, beliau yang lebih dikenali sebagai Chegubard menegaskan, perkara itu tidak menjadi keutamaan PN yang sedang memberi fokus memulihkan negara dalam fasa peralihan pandemik Covid-19.
“Muhyiddin ialah ketua Bersatu – PN maka sudah tentulah kita usaha nak jadikan ketua kita Perdana Menteri (PM).
“Cuma dari segi masa kena tunggu habis penggal. Keutamaan sekarang sama perbaiki negara dan jangan nak sibuk nak PRU-15 untuk ambil kuasa pelepas diri dari kes pendakwaan korupsi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menjelaskan mengenainya, Chegubard yang tidak menyebut sebarang nama menyindir beberapa pemimpin Umno yang menyimpan impian untuk menjadi Perdana Menteri.
“Yang pelik ialah bila kata dia parti besar tapi malu malu nak umumkan ketua parti dia bakal PM. Ketua parti dia memang nak jadi PM malah bekas ketua parti pun nak jadi PM cuma malu nak nyatakan atau penyokong malu nak nyatakan terang terang sebab kes rasuah dah terdedah terang lagi bersuluh.
“Yang pelik ialah apabila PM dari parti dia tapi dia sibuk nak jatuhkan konon sebab PM itu bukan ketua parti. Nak jadikan ketua parti PM..malu..maka jadikanlah PM sekarang ketua parti kan mudah..tapi apa kan daya ramai makan dedak ketua dan bekas ketua parti maka pakat ramai ramai celaru,” sindirnya.
Ketika ini, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang menghadapi kes pendakwaan di mahkamah.
Manakala bekas Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak sedang dalam proses rayuan di Mahkamah Tinggi susulan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. – Malaysiapost