Tangisan bertukar menjadi senyuman bahagia 

Tangisan bertukar menjadi senyuman bahagia 

TANGISAN kekecewaan penyokong cilik Malaysia ketika skuad negara tumpas kepada Bahrain minggu lalu, seakan sembuh dan dapat diubati, malam tadi.  

Tiada lagi kelibatnya menangis keseorangan di bangku stadium seperti yang tular di media sosial minggu lalu.  

Rupanya tangisan berharga itu bertukar menjadi senyuman bahagia si cilik itu yang melihat Harimau Malaya membelasah Bangladesh 4-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.  

Tular di media sosial hari ini, dia megah berdiri bersama kumpulan penyokong Ultras Malaya meraikan kejayaan Harimau Malaya layak secara merit ke pentas Piala Asia 2023 sekali gus menamatkan penantian 42 tahun.  

Perasaan sama turut dikongsi seluruh peminat bola sepak tanahair yang teruja menyaksikan kejayaan anak buah Kim Pan Gon berjaya melangkah ke pusingan akhir kejohanan.  

Tinjauan di media sosial hari ini mendapati peminat bolasepak Malaysia masih lagi hangat memperkatakan kejayaan Safawi Rasid dan rakan-rakannya itu.  

Rata-rata mengucapkan tahniah kepada skuad bolasepak negara yang berjaya memartabatkan semula sukan bolasepak negara di pentas asia.  

Nama Kim Pan Gon dijulang bagai wira kerana kehadiran warga Korea Selatan itu telah berjaya mengubah corak permainan Harimau Malaya meskipun baharu enam bulan mengendali skuad berkenaan. – Malaysiapost

Komen