4 warga Nepal ditahan kes video sokong hina Nabi Muhammad SAW

4 warga Nepal ditahan kes video sokong hina Nabi Muhammad SAW

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes penularan video melalui aplikasi TiTok yang menunjukkan sekumpulan individu berkumpul di hadapan kuil di Batu Caves dan menyatakan sokongan terhadap tindakan menghina Nabi Muhammad SAW di India.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata kesemua suspek warga Nepal berusia 26 hingga 27 tahun itu ditangkap oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), JSJ Bukit Aman.

Menurutnya, tangkapan dibuat dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di kawasan Meru, Klang hari ini.

“Turut dirampas daripada suspek ialah peranti yang dipercayai digunakan untuk merakam dan memuat naik hantaran video yang ditularkan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang menghasut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau golongan awam serta mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Usaha untuk mengesan suspek yang masih bebas diteruskan dan PDRM menggesa individu yang terbabit dalam rakaman video berkenaan untuk tampil bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai pengetahuan mengenai kejadian diminta menyalurkan maklumat kepada D5 JSJ Bukit Aman di talian 03-22666071,” katanya.

Abd Jalil dalam satu kenyataan pada Selasa lalu, mengesahkan menerima laporan polis dan sedang menyiasat berhubung sekumpulan lelaki yang berkumpul di hadapan kuil di Batu Caves dan menyatakan sokongan terhadap tindakan menghina Nabi Muhammad SAW di India.

Beliau berkata, siasatan dijalankan susulan penularan video rakaman video menerusi aplikasi TikTok ‘Gangarammahato280’ yang memaparkan tindakan kumpulan lelaki terbabit yang dipercayai warga asing.

Video berkenaan memaparkan kumpulan berkenaan menyatakan pendirian menyokong perjuangan Hindu Samachar serta tindakan Nupur Sharma, ahli politik dari Parti Bharatiya Janata yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW. – Malaysiapost

Komen