5,827 calon SPM 2021 MRSM catat gred kepujian tertinggi

SERAMAI 5,827 orang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) mendapat sekurang-kurangnya gred kepujian tinggi dalam semua subjek menerusi keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2021 yang diumumkan hari ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pencapaian itu adalah satu kejayaan yang memberangsangkan kerana mereka merupakan kohort yang terkesan dengan pandemik Covid-19 sejak mereka di Tingkatan 4.

Beliau berkata, SPM 2021 juga merupakan peperiksaan yang pertama kali menggunakan format baharu Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

“Calon-calon SPM 2021 ini berhadapan dengan cabaran pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana mereka hanya berpeluang mengikuti pembelajaran secara bersemuka selama tiga bulan sahaja.

“Dengan mengambil kira cabaran yang dihadapi, seramai 904 orang calon MRSM memperoleh semua A merangkumi A+, A dan A-,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, format SPM 2021 telah diperkenalkan Ujian Lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, penjajaran subjek Bahasa Inggeris kepada The Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) serta Ujian Amali Sains.

Katanya, walaupun terdapat perubahan dalam format kertas peperiksaan, kedua-dua subjek teras tersebut menunjukkan pencapaian yang baik oleh pelajar MRSM.

Mahdzir berkata, subjek Bahasa Melayu juga menunjukkan pencapaian Gred Purata Subjek (GPS) 1.097 dengan seramai 6,682 orang calon memperoleh gred A, manakala Bahasa Inggeris mencapai GPS 1.577 membabitkan seramai 5,749 calon.

“Secara keseluruhan, keputusan SPM 2021 bagi MRSM mencatatkan indeks Gred Purata Maktab (GPM) 2.536.

“Empat MRSM mencatat prestasi cemerlang dengan Gred Purata Maktab (GPM) kurang daripada 2.0 iaitu MRSM Taiping, MRSM Tun Ghafar Baba, MRSM Langkawi dan MRSM Tun Abdul Razak”, katanya.

Mahdzir berkata, pengurusan MARA akan terus komited untuk memastikan peningkatan prestasi akademik calon-calon SPM bagi tahun 2022.

“Saya menyeru kepada pelajar lepasan SPM yang cemerlang untuk merebut peluang penajaan yang disediakan MARA untuk mereka menyambung pengajian di dalam dan luar negara.

Syabas dan tahniah kepada semua pelajar dan setinggi-tinggi penghargaan kepada guru dan ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan demi kejayaan anak-anak pelajar,” katanya.

Untuk rekod, seramai 7,307 orang pelajar dari 53 buah MRSM di seluruh Malaysia menduduki peperiksaan SPM 2021 pada bulan Mac 2022. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights