AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menafikan video tular di media sosial, mendakwa feri penumpang terbakar di perairan Langkawi, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim, Romli Mustafa berkata rakaman itu adalah video lama yang berlaku pada tahun 2019.
“Video berdurasi 22 saat yang dimuat naik di satu laman Facebook adalah kejadian sekitar tahun 2019 dan syarikat pengendali perkhidmatan feri tersebut juga tidak lagi beroperasi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Romli berkata, video tersebut dipercayai sengaja ditularkan semula di media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab tanpa memikirkan kesan tindakannya itu terhadap masyarakat terutamanya penggiat industri pelancongan di Langkawi.
“Justeru, orang ramai dinasihat supaya tidak menularkan gambar dan video lama bagi mengelak kekeliruan dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom kesal dengan penularan berita palsu itu.
“Satu Malaysia panik dan syarikat kami dihujani dengan pertanyaan tentang kebakaran ini sedangkan ia kejadian lama.
“Ia merupakan satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab apatah lagi apabila ia mendatangkan trauma dan panik dalam kalangan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata, penularan berita palsu seperti itu sedikit sebanyak menjejaskan usaha memulihkan industri pelancongan di Langkawi pada fasa pasca pandemik Covid-19.
Sebelum itu, pada 25 Februari 2019, seramai 52 penumpang berjaya diselamatkan bot persendirian dan anggota bomba selepas feri dinaiki terbakar
Feri tersebut dalam perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis. – Malaysiapost