HARIMAU Malaya akan tampil ke Piala Asia 2023 sebagai pasukan disegani, tidak mudah diratah sekali gus menjadi mangsa buli pasukan lain.
Sehubungan itu Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memberi jaminan akan membantu skuad kebangsaan membuat persiapan rapi supaya tidak dibuli negara-negara gergasi bola sepak Asia.
Menurutnya, Malaysia tidak dapat mengelak untuk berada dalam kumpulan sama dengan pasukan pilihan seperti Jepun, Korea Selatan, Australia, Iran atau Arab Saudi
Justeru, Hamidin berkata FAM akan berbincang dengan jurulatih, Kim Pan-gon mengenai perancangan pasukan termasuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan lebih besar dan tidak lagi menumpukan kepada lawan dari Asia Tenggara.
“Kita tak boleh bermain dalam ASEAN lagi. Saya nak lihat kita pergi lebih jauh dan Kim Pan Gon sudah menyiapkan persiapan untuk setahun dan saya yakin dia tahu apa yang dia buat.
“Apabila masuk pusingan akhir Piala Asia kita tak nak dibuli. Mungkin kedudukan teratas ada pasukan kuat seperti Korea Selatan, Jepun dan Australia, tapi biarlah kita melawan,” katanya dipetik Berita Harian.
Hamidin berkata, FAM menyasarkan Harimau Malaya melangkah sejauh boleh dan bukan sekadar pasukan pelengkap di pentas Piala Asia 2023. – Malaysiapost