Kementerian siasat punca hampir 25,000 calon tidak menduduki SPM 2021

Kementerian siasat punca hampir 25,000 calon tidak menduduki SPM 2021

MENTERI Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, mendedahkan hampir 25,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 gagal menduduki peperiksaan.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menganalisis punca mengapa mereka tidak mengambil peperiksaan itu Mac lalu.

Menurutnya, beberapa calon memilih untuk tidak mengambil peperiksaan itu walaupun ada campur tangan pentadbir sekolah.

Katanya, kebanyakan membabitkan calon persendirian.

“Bagi pelajar sekolah, beberapa guru dan pengetua telah pergi berjumpa calon dan ibu bapa mereka.

“Disebabkan mereka merupakan kumpulan pertama Kurikulum Standard Sekolah Menengah, calon digesa kembali ke sekolah dan bersedia menghadapi peperiksaan.

“Bagaimanapun, ada yang memilih untuk tidak menduduki peperiksaan atas sebab peribadi seperti masalah keluarga dan cabaran kewangan.

“Kami akan melihat data dengan lebih mendalam dan menilai sama ada terdapat trend yang meningkat sejak beberapa tahun ini. Kami akan memutuskan langkah yang sesuai untuk mengatasinya,” katanya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 18(1), hari ini.

Radzi berkata calon-calon berkenaan boleh mengambil peperiksaan pada September bagi Matematik, Bahasa Melayu dan Sejarah di pusat peperiksaan terpilih.

Dilaporkan 407,907 pelajar telah mendaftar untuk peperiksaan SPM 2021 dan daripada jumlah itu, 24,941 calon tidak menduduki peperiksaan. – Malaysiapost

Komen