Kerap bincang tarikh PRU jejas kestabilan politik – PM

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata berbincang kerap soal tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan memberi kesan kepada kestabilan politik.

Namun kata Perdana Menteri, setiap hari negara semakin hampir dengan tarikh PRU15.

Menurutnya, kerajaan ketika ini berada dalam keadaan stabil dan tidak berlaku pertembungan sesama sendiri antara pemimpin parti di dalam kerajaan.

“Saya dah beritahu tak ada seorang pun Perdana Menteri berbincang mengenai tarikh PRU secara terbuka di khalayak ramai.

“Semua Perdana Menteri tak bincang soal tarikh PRU, jadi ini beri kesan kepada kestabilan politik, kalau kita bincang jadi akhirnya tumpuan kita lebih kepada soal pilihan raya.

“Tetapi PRU tetap ada, semakin hari semakin hampir dengan tarikh PRU15,” katanya pada sidang media
selepas pelancaran pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di ibu negara hari ini.

Ismail Sabri menambah, kerajaan berada dalam keadaan stabil dengan sokongan semua pihak termasuk pembangkang bagi memboleh tumpuan diberi kepada usaha memulihkan ekonomi.

“Apa yang berlaku dalam keadaan sekarang stabil, tidak ada isu besar, pertembungan antara kenyataan-kenyataan keras parti politik juga tidak ada.

“(Kerajaan) masih stabil, ini membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi negara, menyelesaikan isu kenaikan harga, memulihkan bekalan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights