KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia (MOT) menjemput Korea Selatan dalam program seperti Pusat Kecemerlangan Rel Kebangsaan (NRCOE) dalam melahirkan lebih ramai pakar-pakar tempatan dalam industri rel.
Menterinya Datuk Seri Ir Wee Ka Siong, berkata Korea Selatan antara negara yang memiliki kepakaran dalam sektor rel.
Justeru beliau berharap kedua-dua negara dapat terus menjalin kolaborasi dalam membangunkan dan membawa industri rel ke peringkat yang lebih tinggi.
“Sebelum Majlis Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu bermula, saya sempat mengadakan pertemuan dua hala (G2G) dengan Duta Besar Republik Korea, Lee Chi Beom.
“Dalam pertemuan ini, kami banyak membincangkan tentang industri pengangkutan khususnya rel,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Ka Siong berkata, dalam masa sama beliau menjelaskan bahawa MOT pada ketika ini fokus dalam melahirkan lebih ramai lagi pakar-pakar tempatan menerusi pelbagai program seperti NRCOE.
“Saya menjemput dan mengalu-alukan penyertaan Korea ke dalam NRCOE agar dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara terutamanya Malaysia apabila dapat menimba pengalaman serta kepakaran daripada Korea,” katanya. – Malaysiapost