MRT2 selari hasrat, agenda kerajaan Selangor

PEMBUKAAN laluan Fasa 1 Perkhidmatan Transit Aliran Masa 2 (MRT2) dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu, Kuala Lumpur hari ini disifatkan perkembangan positif untuk menambah baik jaringan pengangkutan awam di Selangor.

EXCO Selangor, Ng Sze Han berkata ia menepati agenda digariskan dalam Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor (PIPANS).

“Kerajaan Selangor sentiasa prihatin dan komited memastikan rakyat negeri ini menikmati kemudahan pengangkutan awam yang selamat dan cekap.

“Hasrat ini selaras matlamat melalui PIPANS untuk melipatgandakan kadar penggunaan pengangkutan awam di Selangor daripada 20% kepada 60% menjelang tahun 2030,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sze Han berkata, kemampuan gerabak kereta api MRT2 membawa sejumlah 1,200 orang dalam satu masa, serta ketersambungan dengan sistem rel yang lain, tentunya membawa manfaat kepada 6.57 juta penduduk Selangor.

Katanya, selaras pembukaan MRT2 ini, kerajaan negeri berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbang penambahan bilangan bas serta laluan bas khususnya di kawasan penduduk padat.

“Ini terutamanya apabila laluan MRT2 Fasa 2 mula beroperasi pada Januari 2023, yang akan menghubungkan laluan ini ke Cyberjaya dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“Inisiatif ini akan dapat menjayakan pemerkasaan “first and last mile connectivity” di seluruh Lembah Klang yang pesat membangun dengan pelbagai aktiviti ekonomi,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan pelancaran pembukaan MRT2 Laluan Putrajaya Fasa 1 di Stesen MRT Kampung Batu.

MRT Laluan Putrajaya yang dibangunkan dalam dua fasa, menyediakan perkhidmatan kepada 2 juta penduduk di koridor bermula dari kawasan Kwasa Damansara ke Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan.

Bagaimanapun laluan dari Kampung Batu Kuala Lumpur ke Putrajaya dijangka boleh beroperasi pada awal tahun hadapan. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Ng Sze Han

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights