Negara bakal hadapi risiko stagflasi ekonomi

Negara bakal hadapi risiko stagflasi ekonomi

Dr Mohammad Agus Yusoff

Pada 2 Jun 2022, saya membuat hantaran Facebook bertajuk adakah kerajaan kita di landasan yang betul?

Saya menegaskan tidak di landasan yang betul kerana kerajaan tidak mempunyai dasar yang jelas dalam menyelesaikan masalah pekerjaan, krisis makanan, kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kos sara hidup, dan pengaliran keluar pelabur asing.

Saya lalu menzahirkan kehairanan bagaimana setelah Bank Negara menaikkan OPR kepada 2%, kerajaan boleh lagi melaporkan pertumbuhan ekonomi negara meningkat kukuh dan mampan. Saya terima pelbagai reaksi balas. Biarlah.

Pagi ini saya membaca hantaran Tan Sri Noor Azlan Ghazali, bekas Naib Canselor UKM, dan pakar ekonomi negara. Beliau memberi data seperti yang saya lampirkan. Tulisnya keadaan ekonomi Malaysia sekarang ialah dalam keadaan Risk of Stagflation. Teliti data itu.

Stagflasi dalam bahasa mudah ialah pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan pengangguran yang agak tinggi, dan pada masa yang sama disertai dengan kenaikan harga (iaitu, inflasi). Stagflasi juga adalah tempoh inflasi yang digabungkan dengan penurunan dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Begitulah keadaan ekonomi negara sekarang. Itu belum lagi dinilai kesan kenaikan interest rate AS yang diumumkan semalam terhadap nilai ringgit dan ekonomi negara.

Saya mahu pesan perkara berikut sahaja. Menteri yang berkaitan tolong ambil tindakan pembetulan segera. Kumpul tokoh-tokoh ekonomi berwibawa untuk membantu.

Suburkan perkataan prestasi, performance, produktiviti, keefisienan kerja di kementerian masing-masing. Paling penting, jangan lagi keluarkan kenyataan yang menjengkelkan apabila menjawab teguran dan rungutan rakyat.

Penulis ialah penganalisis politik
(Tulisan ini dipetik sepenuhnya dari Facebook beliau dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

Komen