Pembangkang takut, cipta alasan lambatkan PRU15 

Pembangkang takut, cipta alasan lambatkan PRU15 

PARTI pembangkang termasuk Perikatan Nasional (PN) tidak mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan awal kerana tidak yakin rakyat akan mengundi mereka kali ini.  

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shamsul Nasarah berkata pelbagai alasan dicipta untuk menghalang PRU15 diadakan awal.  

“Semua parti mahu menang, sebab itu saya yakin Bersatu, PAS, DAP, PKR, Amanah dan beberapa lagi parti tidak yakin ketika ini kerana mereka bimbang tahap sokongan pengundi kepada parti mereka.  

“Kerana itu mereka tidak mahu diadakan PRU15 dalam tempoh ini. Oleh itu pelbagai alasanlah digunakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.  

Ahli Parlimen Lenggong itu menjelaskan, lazimnya tarikh Pilihan Raya Umum menjadi rahsia dan tidak diberitahu kepada parti lawan.  

“Mestilah. Mana boleh pilih tarikh pilihan raya pada masa yang kita tahu parti lawan sedang kuat. Takkan nak pilih tarikh pilihan raya pada masa semua parti lawan telah bersiap sedia,” katanya.  

Bagaimanapun, Shamsul Anuar berkata, sama ada PRU15 diadakan awal atau sebaliknya, yang menentukan kemenangan setiap parti adalah mandat yang dipilih oleh rakyat.  

“Namun saya yakin rakyat bijak. Realitinya serah mandat kepada rakyat, Biarlah rakyat pilih kerajaan yang mereka mahu.  

“Kerajaan yang diyakini mesti dibentuk untuk kepentingan rakyat dan negara,” katanya.  

Tempoh untuk mengadakan PRU15 berbaki setahun lagi, namun Umno menerusi ketetapan yang dibuat Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 mendesak ianya diadakan awal.  

Pada sidang khas PAU awal bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bersetuju tarikh PRU15 boleh diadakan pada bila-bila masa. – Malaysiapost

Komen