SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan putera baginda, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail untuk terus menerajui dan mengendalikan kelab bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Perkara itu dimaklumkan Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli menerusi kenyataan yang dikeluarkan, sebentar tadi.
Menurut kenyataan itu, Sultan Ibrahim mahu TMJ terus mengendalikan JDT sekali gus memartabatkan sukan bola sepak negeri itu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Pada 9 Jun lalu, TMJ membuat kejutan apabila mengumumkan mengundur diri daripada pengurusan JDT.
Pemilik JDT bertindak demikian disebabkan faktor tanggungjawab serta komitmen lain yang perlu dilakukan.
“Disebabkan tanggungjawab dan komitmen saya yang lain, saya telah mengambil keputusan untuk berundur dan menyerahkan urusan harian Kelab Bolasepak JDT kepada pengurusan tertinggi kelab.
“Saya doakan yang terbaik untuk kelab dan semua,” katanya. – Malaysiapost