DAP kekal dengan pendiriannya menolak sebarang cadangan kerjasama dengan parti atau individu yang mengkhianati Pakatan Harapan (PH) sehingga menyebabkan gabungan itu tumbang pada 2020.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, berkata tiada apa yang boleh mengubah pendirian parti itu walaupun difahamkan sesetengah pihak percaya semua parti pembangkang perlu bekerjasama untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kami tidak akan mengambil pendekatan menang walau dengan apa cara sekalipun, yang bermaksud bekerjasama dengan orang yang tiada rasa bersalah apabila mengambil bahagian dalam Langkah Sheraton.
“Bagaimana DAP boleh bekerjasama dengan individu yang bekerjasama dengan (Datuk Seri) Najib Razak untuk menumbangkan kerajaan PH? Ia seolah-olah bekerjasama dengan BN,” katanya seperti dilapor FMT, hari ini.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, ramai penyokong DAP tidak akan dapat menerima idea PH bekerjasama dengan pemimpin pembangkang tertentu, terutamanya yang merancang Langkah Sheraton atas hujah perkauman dan agama.
“Pemimpin-pemimpin ini mampu menggunakan alasan yang sama jika timbul keperluan untuk terus berkuasa selepas PRU-15. Mustahil untuk bekerjasama dengan mereka lagi,” katanya.
Selasa lalu, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Madya Dr Azmi Hassan, berkata berkata, PH tiada pilihan selain bekerjasama dengan parti pembangkang lain bagi memastikan kemenangan pada PRU-15.
Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan kenyataan Azmi bahawa PH akan ‘membunuh diri dari segi politik’ jika melawan BN dan Perikatan Nasional pada masa yang sama, Guan Eng berkata, pihaknya mengambil pendirian menentang politik khianat.
“Kami bersedia untuk berdepan akibatnya kerana tidak mengorbankan integriti dan prinsip kami dalam perkara ini,” katanya. – Malaysiapost